MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004 |
29 Mei 2000
Semua Ahli MPT
Semua Ketua Perhubungan Negeri
Semua Ketua Bahagian
Parti
Keadilan Nasional (KeADILan)
Saudara/saudari seperjuangan,
Assalamualaikum wr. wb. dan Salam
Sejahtera.
BERDIRI TEGUH MENGHADAPI CABARAN TELOK KEMANG
Sepertimana yang saudara/saudari sedia maklum media arus perdana yang pro-kerajaan sedang mengheboh-hebohkan isu "Keadilan Dilanda Krisis" (Tajuk utama Utusan Malaysia 27 Mei 2000).
Timbalan Presiden, Dr. Chandra Muzaffar dan Setiausaha Agung, Sdra. Anuar Tahir menerima mandat dan wajar diberi sokongan. Saya yakin kedua-dua pemimpin tersebut bersama semua tenaga parti akan menumpukan segala daya upaya untuk memenangkan calon kita di Telok Kemang.
Media-media pro-kerajaan bermotif politik dengan mengheboh-hebohkan isu-isu seperti desakan yang disiarkan melalui 5 laman web, dan perletakan jawatan Naib Ketua Pemuda KeADILan Negeri Kedah. Melalui usaha-usaha sedemikian pihak-pihak tertentu ingin melemahkan kempen parti kita di pilihanraya kecil Telok Kemang dan memastikan bahawa undi yang diperolehi parti kita kurang daripada apa yang kita perolehi dalam Pilihanraya Umum ke-10, November tahun lalu. Malah seteru-seteru politik kita mungkin mempunyai agenda yang lebih besar: iaitu, mereka mahu menghancurkan parti kita sama sekali.
Dalam beberapa hari akan datang ini ada kemungkinan bahawa pihak-pihak tertentu akan meneruskan usaha mereka menimbulkan kekecohan dalam KeADILan untuk mengurangkan lagi keyakinan rakyat terhadap parti kita. Mungkin juga akan ada berita yang mengatakan bahawa ahli-ahli parti, ketua-ketua bahagian tertentu mahupun pemimpin-pemimpin tertentu di peringkat MPT menyokong desakan agar Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung berundur dan menyeru reformasi dilakukan dalam KeADILan.
Ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin KeADILan harus memahami bahawa ini adalah sebahagian daripada permainan politik kotor oleh golongan-golongan tertentu yang mungkin bersubahat dengan UMNO dan BN. Kita jangan terperangkap dalam politik mereka.
Kita tetap menghargai peranan dan sumbangan laman-laman web yang sekian lama memperjuangkan cita-cita pergerakan reformasi untuk mewujudkan masyarakat yang adil lagi telus. Kita harap pengurus-pengurus laman-laman web yang masih mendukung reformasi tetap akan bersama-sama kita dalam perjuangan.
Dengan memahami keadaan sebenar, saya berharap bahawa ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Parti di semua lapisan dapat mempertingkatkan iltizam untuk mempertahankan cita-cita murni perjuangan parti kita. Kita harus tabah dan bertenang dalam menghadapi cabaran ini. Yang paling penting, kita mesti terus bersatu-padu dan teguh bagi meneruskan misi kita untuk membawa perubahan ke arah sebuah masyarakat Malaysia yang adil.
Salam Perjuangan,
DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
|